Waktu saya dan abah sama-sama menanti bilal melaungkan iqamah untuk solat jemaah. Saya terdengar Abah duk kumat-kamit baca sesuatu.
Memang setiap waktu begitu, ada saja sesuatu yang abah baca. Dalam hati ni tertanya-tanya juga, apalah yang abah baca tu.
Bila saya dengar betul-betul, saya dapat tangkap satu doa. Memang tiap kali waktu solat, selepas sahaja tunaikan solat sunat qabliyah doa itulah yang diulang-ulang.
Saya tanya Abah,
"Berapa lama dah Abah amal baca doa ni?"
"Lama dah.
Sambil-sambil tunggu iqamah tak buat apa-apa. Nak bangun ambil Quran jauh sangat, dengan kudrat yang tak larat ni. Jadi, baca doa je lah," jawab Abah.
Allahuakbar.
Kalau kita, biasanya waktu sebegitu apa yang kita buat? Baca al-Quran atau tengok telefon? Atau langsung tak buat apa-apa?
Doa yang diulang-ulang oleh Abah itu ialah,
اللهم إنا نسألك الصحة والعافية
Doa ini lebih memohon kepada Allah agar diberikan kesihatan dan afiat.
Maksud afiyat dalam Islam ni sangat luas, termasuk afiat dalam urusan dunia dan akhirat.
Secara umumnya, afiat ini merupakan perlindungan Allah bagi hambaNya dari pelbagai macam penyakit, bencana, bala dan ujian samada di dunia dan akhirat.
Afiat juga terdapat dalam doa yang diajarkan oleh Nabi kita,
اللهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةَ, اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِيْ دِيْنِيْ وَأَهْلِيْ وَمَالِيْ...
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu kemaafan, dan ‘afiyat di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu kemaafan dan ‘afiyat pada agamaku, keluargaku dan hartaku.”
Kalau dilihat dari rekod kesihatan Abah jika dibandingkan dengan umurnya, memang jarang ada sakit yang berat-berat. Kecuali baru ni sahaja ada satu pembedahan kecil, itupun kesan sakit yang lama.
Mata Abah pun masih cerah lagi, kecuali di waktu malam. Boleh membaca dalam tempoh yang lama dan boleh berjalan jauh. Nak kata sihat sangat tipulah, tapi sihat gaya orang tua lebih kurang begitu.
Itulah kita, kadang-kadang terlupa dengan kesempatan waktu yang Allah kurniakan.
Kalau kalian nak tahu, antara azan dan iqamah terdapat padanya waktu mustajabnya doa. Ini memang ada di dalam hadis.
Abah menggunakan peluang berada di tanah suci dan waktu yang mustajab untuk berdoa kepada Allah.
Jadi, kita yang sudah tahu ni jangan lupa untuk beramal. Manalah tahu, kebetulan waktu tersebut memang Allah nak terima doa kita. Kena pula selepas Asar pada hari Jumaat. Allahuakbar.
Jadi, jangan sia-siakan waktu tersebut dengan bual kosong atau melayan telefon.
Isikan masa tersebut dengan banyakkan berdoa. Baca apa saja doa ringkas. Paling kurang kita minta pada Allah agar dipermudahkan segala urusan pada hari itu.
Mudahkan?
Doa tersebut boleh diulang-ulang waktu kita semua diuji dengan kehadiran makhluk Allah kuman COVID-19 ini. Moga kita semua dikurniakan kesihatan.
Saya tulis kembali di bawah,
اللهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةَ, اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِيْ دِيْنِيْ وَأَهْلِيْ وَمَالِيْ.
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu kemaafan, dan ‘afiyat di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu kemaafan dan ‘afiyat pada agamaku, keluargaku dan hartaku.
Jom amal sama-sama.
BAZLI ZAKARIA
Terimalah doa kami Ya Allah.
#BazliZakaria #MBZ
#kisahkecilumrahcikgushahidan
No comments:
Post a Comment