Adakah Bangun Sahur Dikira Sebagai Niat Di Sisi Ulamak Syafieyah
1. Ini permasalahan yang sering di tanya ketika masuknya bulan Ramadan. Hal ini kerana ada yang tidak berpuasa atas alasan terlupa niat pada waktu malam. Sedangkan dalam masa yang sama mereka telah bersahur. Adakah sahur dapat dikira sebagai niat?
2. Adakalanya sahur dapat dikira sebagai niat manakala ada ketikanya tidak dapat. Ia ada pada tempatnya.
3. Kita tidak boleh mengatakan secara mutlak atau jazam 100% bahawasanya bersahur telah dikira sebagai niat. Dalam masa yang sama kita juga tidak boleh mengatakan secara mutlak bahawa orang yang bersahur itu belum dikira sebagai niat. Ada perbahasannya di bawah.
4. Pandangan pertama adalah bangun sahur dapat dikira sebagai niat. Bagaimana ia terhasil?
Sebagai contoh mengapa seseorang itu makan sahur? Sudah tentulah kerana azam persediaan untuk menahan lapar dan dahaga menghadapi puasa ramadan pada esok hari. Itu sudah dapat dikira sebagai niat.
5. Ulamak mazhab syafie seperti Imam Ibn Hajar Haitami berkata Tuhfah Al-Muhtaj:
لو تسحر ليصوم أوْ امْتنع من الفطر خوْف طلوع الفجر مع خطورِ
الصّوْم بباله كذلك كفاه ذلك؛ لأنّ خطور الصّوْم بباله كذلك معَ
فعْل ما يعين عليْه أوْ ترْك ما ينافيه يتضمّن قصْد الصّوْمِ
[Imam Ibn Hajar Haitami, Kitab Tuhfah Al-Muhtaj, Jilid 3, m/s 388]
Bahawasanya jika لو تسحر ليصوم iaitu seseorang yang bersahur itu dengan sebab untuk berpuasa maka ia dapat dikira sebagai يتضمن قصد الصوم iaitu dikira sebagai qasad yakni niat untuk puasa. Maka dapat difahami bahawasanya bangun sahur dengan sebab untuk puasa pada esok dikira sebagai niat.
6. Akan tetapi bukan semua sahur dapat dikira sebagai niat. Mengapa? Hal ini kerana ada orang yang makan sahur disebabkan emak kejutkan maka dia pun makan. Dalam keadaan mengantuk mata pejam maka dia pun pergi ke dapur makan kemudian tidur semula bangun pukul 7. Dia pun tidak sedar telah bersahur. Ini tidak dikira sahurnya sebagai niat.
7. Hal ini ada disebutkan di dalam Fath Al-Muin mengatakan sahur memang tidak cukup untuk dikira sebagai niat.
ولا يجزىءُ عنها التسحّر وإن قصد به التّقوي على الصّوم
[Kitab Fath Al-Muin, Imam Zainudin al-Malibari]
Akan tetapi perlu rujuk Hasyiah I'anah al-Tholibin kerana di sana penjelasan lebih tafsil yakni terperinci.
Kesimpulannya:
Jika seseorang bangun Sahur disebabkan makan atau minum untuk persediaan menahan lapar dan dahaga pada keesokan harinya untuk puasa Ramadan, maka ia sudah memadai dikira sebagai niat. Memang itu pun hakikatnya mengapa kita bangun sahur. Jadi tidak ada alasan untuk ponteng puasa kerana lupa niat jika ia telah bersahur.
.
Ustaz Amir Farhan
No comments:
Post a Comment