Thursday, 2 April 2020

30032020 Permandangan bersarapan menghadap Masjidil Haram

PEMENANG : SHAHIDAN SHUIB


Bapak ini meminta izin untuk duduk satu meja makan bersama kami. Sesak dan padat dengan jumlah jemaah umrah di sini, kami amat memahami situasi begini. Kompromi masih perlu ada.
.
"Dari mana bapak?"
.
" Malaysia "
.
" Oh, dari Sarawak kah? "
.
" Oh tidak, dari Kampar, Perak. Utara Malaysia "
.
" Bapak pula dari mana? "
.
" Palembang"
.
"Palembang. Yang saya tahu ada keropok namanya keropok Palembang"
.
Aku cuba menambah perisa perbualan.
.
"Nasi Palembang juga saya tahu, bapak"
.
Bergurau.
.
"Muka bapak (dia merujuk aku) mirip benar dengan kawan saya di Palembang "
.
Ketawa.
.
" Nama saya Shahidan."
.
" Oh Ya Allah, nama sahabat saya itu Shahrizal"
.
Aku, suri dan bapak itu ketawa lagi.
.
" Bapak pernah sampai ke Malaysia?"
.
" Belum, tapi di Singapura selalu transit"
.
"Jemput datang ke Malaysia, bapak "
.
"Ya, ya, Insya-Allah"
.
" Bapak kerja apa di Palembang?"
.
"Bisnes"
.
"Bisnes apa?"
.
"Transportation"
.
"Kami berdua ini guru. Guru sekolah dasar (rendah)."
.
" Oh ya, anak - anak berdua (sambil menunjukkan anak kami Abid dan Aisya) ini biaya ke umrah bagaimana ya?
.
" Sama sahaja biayanya bapak, cuma kurang 200 ringgit sahaja setiap anak kecil. "
.
Suri bertanya.
.
" Bapak, itu ibu - ibu tua yang bersama bapak itu, datang untuk umrah bagaimana ya biasanya? "
.
Kumpulan ibu - ibu berusia dan tua yang memakai baju sama sedondon, pemandangan biasa bagi jemaah umrah dari Indonesia.
.
Diam sebentar.
.
" Oh mereka dipilih, dibiaya gratis (percuma) oleh seseorang. "
.
"Subhanallah, hebatnya"
.
Aku dan suri agak tercengang. Takjub, ada sekumpulan jemaah yang melebihi 30 orang ".
.
" Semuanya dibiaya oleh seseorang, begitu?
.
"Ya"
.
"Tapi, daripada siapa?"
.
"Bapakkah yang biaya semuanya?"
.
Aku terus menembak dan menebak sesuka hati aku. Diam.
.
Dia menjawab.

" Ya, Alhamdulillah"
.
Ringkas, bersahaja. Tiada sedikit pun riak angkuh raut wajahnya. Lagi aku tercengang.
.
Padanlah dia terlihat prihatin menanya hal jemaah wanita itu, makan dan minum sudahkah.
.
" Subhanallah, bagusnya bapak "
.
" Alhamdulillah "
.
Senyum tipis yang langsung tidak mahu dilihat hebat.
.
Aku mencungkil lagi.

"Setiap tahun bapak biaya sendiri penerbangan semuanya bapak?"
.
"Ya, insya-Allah"
.
"Mudah mudahanlah".
.
Rasa kagum dan haibah itu membuat kami berdua hampir kecengangan. Geleng kepala sahaja kami berdua.
.
Wanita - wanita yang usia tua. Wajah wanita wanita Indonesia dari ceruk kampung, hulu pedalaman. Mungkin seribu kesukaran mengumpul duit jika sekadar harap kepada sawah, tanah kebun atau berniaga kecilan semata.
.
Dia meminta izin untuk masuk ke bilik. Sebetulnya, dia juga yang meminta izin untuk sarapan bersekali di meja kami tadi. Hartawan dermawan yang sungguh santun.
.
Hanya begitu. Nampak tokoh wibawa, tetapi terampil sederhana. Rupanya tokoh perniagaan yang lumayan. Jika tidak, masakan setiap tahun mampu menaja 35 orang jemaah yang miskin menunaikan umrah.
.
Subhanallah, di kota suci ini kau masih berikan aku kisah untuk aku tuliskan ya Tuhan. Kau masih lagi mahu menyulam dan menyimpul pesan dan hikmah.
.
Bahawa. Kaya atau miskin kau tetap akan hadir di sini. Jika kau mahu dijemput ke sini, kau hanya perlu minta. Kau perlu berdoa. Kau perlu berusaha. Kau datang ke sini bukan kerana kau sudah mampu dan kaya, tetapi kau miskin tetapi masih boleh dijemput akhirnya. Kau perlu minta. Kau perlu ikhlas berdoa. Kau perlu buktikan yang kau benar - benar mahu ke sini.
.
Kerana yang datang ini dengan undangan khas dari Dia. Dhuyufurrahman. Tetamu Allah. Meski pun kau miskin kau sampai juga ke tanah Bakkah ini. Meski kau kaya belum tentu kau akan dijemput ke sini.
.
Lihatlah bagaimana kuasa Allah membahagi - bahagikan rezeki kepada umatnya.
.
(Aku masih menyimpan foto beliau. Aku masih mengingati namanya. Namun biarlah antara aku, suri dan bapak yang mengenali dirinya, tetapi kalian kini sudah mengenali betapa ada dermawan manusia ini - yang setiap tahun mengikut sendiri jemaah yang ditajanya sendiri .)
.
.
.
Tulisan :Shahidan Shuib
Umrah Disember 2019
Pemandangan bersarapan menghadap Masjidil Haram
.

Tak sangka menang pertandingan menulis kenangan di bumi Haramain oleh page Madinah Di Hati.
.
Alhamdulillah.
.
Sungguh rasa rindu sangat akan kota Madinah dan Mekkah.

No comments:

Post a Comment